Pada zaman email, twitter dan Whatsapp ini medium surat bertulis telah semakin dilupakan. Akan tetapi bagi perkara-perkara penting dan rasmi, surat menyurat masih lagi diguna pakai, terutamanya di dunia perundangan.
Sistem surat menyurat ini masih lagi bergerak cergas oleh kerana kepentingannya dari segi perundangan dan ini adalah kerana ianya adalah salah satu cara untuk menyampaikan sesuatu Notis, makluman mahupun dokumen perundangan yang 'foolproof'. Fool proof kerana ianya akan sampai kepada di mana ianya di alamatkan melainkan berlakunya pertukaran alamat oleh si penerima ataupun alamat itu tidak wujud atau berlakunya kesilapan ejaan dan sebagainya (topik kepentingan memaklumkan pertukaran alamat akan di sentuh oleh post seterusnya).
Akan tetapi sepertimana perkembangan teknologi memudahkan hidup kita, ianya juga membuatkan kita semakin malas. Dalam hal ini, malas untuk membuka surat-surat yang dihantar kepada kita. Terutamanya surat yang mempunyai kepala surat firma guaman. Bukan kesemua kita bersifat sedemikian akan tetapi saya tahu kebanyakan kita berfikiran sedemikian.
Ya, memang tidak dinafikan bahawa sering kali kita menerima salinan penyata kewangan, bil-bil kita melalui peti pos kita yang telah sedia sendat dengan promosi bulanan Tesco, Giant, tawaran perkhidmatan yang bermacam-macam termasuklah perkhidmatan menilik nombor ekor oleh sami Buddha di Thailand yang menjamin pulangan lumayan.
Walaubagaimanapun, harus kita ingat bahawa segala penyata kewangan, bil-bil yang kita terima itu sebenarnya adalah perlaksanaan tanggungjawab pihak penyedia perkhidmatan kepada kita sepertimana yang tertulis dalam kontrak yang anda tandatangani. Tidak percaya? Buka salinan kontrak anda, tidak kira lah kontrak dengan Bank mahupun kontrak dengan gim yang anda langgani akan tetapi jarang pergi. Akan terdapat satu klausa yang mengatakan segala makluman oleh kedua belah pihak hendaklah dilakukan melalui surat menyurat.
Maka apabila anda buang surat tersebut tanpa membaca isi kandungannya bermakna anda juga telah membuang hak anda untuk tahu apa yang penyedia perkhidmatan (service provider) ingin maklumkan. Boleh jadi anda terlupa membayar langganan bulanan gim anda dan gim tersebut ingin menghantar peringatan kepada anda. Boleh jadi gim anda ingin menutup bisnes dan ingin memulangkan bayaran langganan bulanan anda bagi bulan lepas dan tuntutan kepada gim tersebut harus dibuat dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan surat. Oleh kerana anda telah membuang surat tersebut maka anda pun telah terlepas peluang untuk mendapatkan kembali wang anda, kebetulan anda sedikit kesempitan pada bulan itu tapi oleh kerana anda malas untuk membuka surat anda, anda langsung tidak tahu mengenai hal itu. Tepuk dahi pun tidak berguna. Nasi sudah menjadi risotto.
Maka, buka lah surat surat anda, terutamanya surat dari firma guaman kerana ianya pasti mengenai sesuatu yang penting. Jangan bimbang, kami jamin ianya bukan promosi apa-apa produk.
Maka, buka lah surat surat anda, terutamanya surat dari firma guaman kerana ianya pasti mengenai sesuatu yang penting. Jangan bimbang, kami jamin ianya bukan promosi apa-apa produk.